Bismillahirrahmanirrahim.
Beberapa hari sebelum SPM, aku berniat nak berubah. Aku nak bertudung labuh. Nak jadi perempuan solehah.
Aku mudah tersasar. Aku mudah terikut-ikut. Ya, iman aku tak teguh. Namun, hamba Allah tak pernah salah kalau nak berhijrah. Niat itu yang penting. Ikhlas, hanya kerana Allah Taala.
Hajat aku tak kesampaian pada minggu pertama SPM. Tudung labuhku ada pada adikku di asrama tempat dia belajar. Aku hampa. Sedih. Aku cuba cari tudung labuh lain yang ada di rumah. Ada! tapi itu milik adikku. Tidak cukup labuh bagiku. Aku sabar.
Ada hikmahnya.
Dua minggu terakhir untuk SPM, barulah niat aku terlaksana. Kata-kata sindiran dan situasi yang boleh jatuhkan air muka aku, itu semua dah berlegar-legar dalam fikiran aku. Aku tabahkan hati. Aku teringatkan pesan cikgu kesayanganku.
"Kenapa awak tak masuk kelas saya hari tu?" Cikgu tanya ingin tahu. Dia prihatin terhadapku.
Hari itu, aku menangis dengan teruk. Lumrah untuk aku ada masalah dengan kawan. Aku ceritakan semuanya kepada cikgu. Aku teliti apa yang aku katakan. Tidak mahu menyalahkan pihak kawan. Biarlah. Aku tak pernah kisah siapa menang, siapa kalah. Pada aku, kebenaran itu yang paling penting.
Syukur, aku tidak menjatuhkan air mataku di hadapan cikgu itu. Aku sudah lebih kuat dari sebelumnya.
"Awak, saya nak tanya. Awak sedang duduk atas kerusi kan? Apa jadi kalau tempat sandar ni patah? Awak akan jatuh tak?" Cikgu cuba memberi analogi.
"Tak.."
"Macam mana pula kalau kaki kerusi ni patah? Awak jatuh kan?"
"Jatuh.."
"Apa yang saya nak cakap, jangan jadikan kawan itu tempat awak bergantung. Bila kawan awak tinggalkan awak, awak akan 'jatuh', sebab awak kehilangan tempat awak bergantung."
"Hm.." Aku sebak.
"Jadikan kawan itu sebagai sandaran. Cukup. Kalau kawan awak tinggalkan awak, awak takkan 'jatuh'. Awak bergantunglah pada Allah. Allah sentiasa ada untuk awak. Awak takkan pernah 'jatuh'."
Aku terasa ingin memeluknya. Namun, sifat pemalu aku yang tidak bertempat menyebabkan hasratku terbatal.
"Waktu saya di universiti dulu, saya tak ada best friend tau?" Aku terkejut. Lantas, aku teringat Prof. Muhaya. Prof pun cakap, waktu di universiti dulu, dia tak ada best friend.
Mereka berjaya walaupun tak ada best friend. Aku? Tak mungkin aku tak boleh.
Cikgu banyak beri aku kekuatan. Aku bagaikan diberi semangat baru. Aku seolah-olah mendapat keberanian untuk menghadapi dugaan di dunia ini. Kami bertemu lebih 2 jam. Masa terasa sekejap. Kalau boleh, aku ingin bercakap lebih lama dengan cikgu.
"La haula wa la quwwata illa billah. Amalkan zikir ni. Kita ni hamba Allah yang lemah. Hanya kepada Allah kita meminta pertolongan. Awak amalkan zikir ni tau?"
Aku senyum dalam rasa sebak. Lantas, aku mengangguk.
"Terima kasih cikgu."
Kalimah itulah yang aku amalkan. Aku persiapkan mental aku untuk sabar ketika dihujani kata-kata sindiran dan situasi memalukan. Sangkaan aku betul. Ada sahaja kata-kata yang memanah telinga aku. Ada sahaja pandangan kurang senang. Ada yang menjatuhkan air muka aku.
Aku meraikan sesiapa saja yang datang kepadaku. Aku berkawan lillahi taala. Jika dia pergi, aku tak kisah sangat. Sebab, aku bergantung pada Allah. Allah, Dia kekuatanku. Aku lebih tabah sekarang.
Zaman persekolahan telah membawa aku untuk menjadi lebih matang, lebih berhati-hati. Ujian yang dulunya aku rasakan berat, kini terasa ringan dan tidak menggugat aku. Akhirat itu tujuan utamaku. Bila aku menjadikan akhirat sebagai keutamaan, ujian di dunia terasa ringan.
Wajah yang baik tidak mencerminkan jiwa yang bersih. Kepercayaan itu bagaikan kertas. Sekali ianya rosak, kepercayaan yang baru takkan pernah sempurna seperti sebelumnya. Atau.. mungkin juga 'kertas' yang rosak itu akan terus dibuang?
Alhamdulillah.