Bismillah..
Sebelum memasak, aku akan teringat pesan Tok Abah. Jangan masak ketika lapar kerana masakan boleh menjadi masin dan jangan masak ketika kenyang kerana masakan boleh menjadi tawar. Aku gembira memasak hari ini. Aku memasak untuk tetamu paling istimewa dalam hidupku.
Telefon bimbitku berbunyi.
"Salam. Kami berlima, otw ke sana."
Aku mendapat mesej pesanan ringkas darinya. Aku berdoa agar mereka selamat dalam perjalanan.
'Eh. Lima orang? Makanan yang sedang aku sediakan pula hanya untuk tiga orang.'
Aku segera membaca 'laisalaha min dunillahi kaasyifah' agar Allah mencukupkan makanan yang sedikit ini kepada tetamuku yang ramai. Disamping itu, aku teruskan berselawat. Alhamdulillah, selepas juadah siap dimasak, aku menghidangkannya di ruang tamu.
Tok Mak berjalan ke ruang tamu.
"Dah siap?" tanyanya sambil tersenyum.
Aku mengangguk. Tersengih.
"Tak sangka Kaka akan ikut macam Tok Mak.. tapi benda baik buat apa ditunda kan?" katanya.
Aku senyum. Malu. "Moga Allah mudahkan semuanya, Tok Mak."
"Sedapnya bau makanan. Pandai cucu Tok Mak masak." pujinya.
Tok Mak berumur pertengahan 70 tahun. Dia bernikah dengan Tok Abah ketika umurnya 16 tahun. Tok Abah lebih tua sedikit berbanding Tok Mak. Namun, aku tidak pernah lihat mereka berselisih faham. Usia hanyalah angka yang tidak mempengaruhi sesebuah kebahagiaan.
Aku terdengar bunyi enjin kereta. Alhamdulillah, mereka sudah sampai.
Ibu dan Abah keluar untuk menyambut tetamu. Aku berasa malu untuk tampil.
Mereka datang untuk memulakan sunnah Baginda. Sunnah yang akan mengubah hidupku sedikit sebanyak.
Ya. Aku bakal menjadi seorang bidadari hati kepada seorang pejuang agama. Ada sebuah pertemuan untuk melamarku pada hari ini. Hatiku berdebar-debar. Aku bersyukur kerana aku akan menjadi seorang kekasih halal buat seseorang. Telah tiga tahun kami saling memendam rasa cinta sejak akhir Tingkatan 3.
Moga Allah permudahkan segala urusan.
Aku tersenyum.